-
Berapakah nilai pampasan yang boleh dituntut bagi sijil takaful sebanyak RM200,000 sekiranya berlaku kerugian atau kerosakan?
Nilai pampasan ke atas kerosakan yang disebabkan oleh bahaya (peril) yang dilindungi, adalah berdasarkan kerosakan yang dialami, bergantung kepada nilai perlindungan atau nilai semasa, tertakluk kepada lebihan, penolakan
ke atas susut nilai dan penalti terhadap “underinsurance’ (sekiranya ada).
Pemegang Sijil hendaklah mengemukakan bukti atau dokumen untuk menyokong kerugian atau tuntutan seperti laporan polis, gambar kerosakan, sebutharga atau invois pembaikan, invois pembelian terdahulu, laporan teknikal untuk
punca kerosakan (sekiranya melibatkan barangan elektrik), dan lain-lain.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan bagi penginapan alternatif / kehilangan penyewaan sekiranya kediaman tersebut tidak boleh dihuni akibat kemalangan?
Sekiranya kerosakan disebabkan oleh mana-mana bahaya (peril) yang dilindungi, pemegang sijil boleh membuat tuntutan ke atas penempatan alternatif / kehilangan penyewaan di bawah manfaat Kerugian Sewa; hanya bagi tempoh
yang diperlukan untuk pengembalian semula dan tertakluk kapada jumlah yang tidak melebihi 10% daripada Jumlah Dilindungi.
-
Bolehkah kos pengubahsuaian kediaman dimasukkan ke dalam Jumlah Dilindungi?
Bangunan di dalam sijil Takaful Pemilik Rumah bermaksud bangunan rumah kediaman persendirian di mana terletaknya premis tersebut termasuk segala pejabat domestik, kandang kuda, garaj dan bangunan-bangunan luar yang berkaitan
dengannya dan di atas premis yang sama, barang kelengkapan, dinding, pintu pagar dan pagar di sekeliling premis.
Maka, ianya amat penting untuk pelanggan memastikan nilai perlindungan adalah mencukupi untuk melindungi harta benda termasuk kos pengubahsuaian, dan barang kelengkapan di dalam bangunan premis. Sekiranya tidak mencukupi,
nilai pampasan akan tertakluk kepada penalti terhadap “underinsurance”.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan bagi kerugian atau kerosakan disebabkan oleh jubin lantai yang tertimbul atau pecah?
Tiada bantuan kewangan akan diberikan sekiranya kerosakan yang dialami tidak disebabkan oleh bahaya (peril) yang dinyatakan di dalam kontrak takaful.
-
Bolehkah saya menuntut kerugian atau kerosakan yang dilakukan oleh tetamu sekiranya saya membuat perlindungan takaful untuk kediaman yang dijadikan rumah penginapan (homestay)?
Sijil Takaful Pemilik Rumah / Isi Rumah ialah untuk rumah kediaman persendirian. Untuk rumah penginapan (homestay), sijil yang lebih bersesuaian adalah Sijil Kebakaran.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan bagi kos untuk memecahkan dinding untuk mencari dan membaiki paip yang rosak akibat daripada kejadian paip air yang pecah di dalam rumah yang dilindungi oleh Pelan Takaful?
Sijil Takaful Pemilik Rumah menyediakan perlindungan harta benda yang dilindungi untuk kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh bahaya (peril) yang dilindungi, dalam hal ini — pecah dan limpahan tangki / paip / perkakas
air. Oleh kerana sijil ini hanya merangkumi kerosakan yang disebabkan secara langsung oleh bahaya (peril) yang dilindungi, maka kos untuk mencari dan memperbaiki paip tidak akan dibayar.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan akibat kecurian pam air yang terletak di luar bangunan yang dilindungi oleh Pelan Takaful?
Sijil ini menyediakan perlindungan terhadap kecurian tetapi hanya jika disertai dengan tindakan pecah masuk bangunan atau sebarang percubaan ancaman.
Di dalam hal ini, oleh kerana pam air terletak di luar bangunan, maka kerugian tersebut tidak dilindungi.